Kita
sebagai rakyat Malaysia yang telah menguasai Bahasa Melayu dikira cukup
bertuah berbanding rakyat Argentina, Jepun, Brazil dan lain-lain.
Bahasa yang mereka tuturkan hampir tiada persamaan dengan bahasa Arab.
Ini berbeza dengan bahasa Malaysia yang kita gunakan seharian. Dalam
Kamus Dewan sahaja terdapat lebih 1,700 perkataan berasal daripada
perkataan Arab. Jadi apalah salahnya, kata pinjaman yang berasal
daripada bahasa Arab itu kita gunakan semula dalam membina ayat mudah
dalam bahasa Arab.
Untuk
itu, satu kaedah baru telah diperkenalkan yang diberi nama MUKADDAM.
Kaedah MUKADDADAM ini adalah singkatan (“Membandingkan Unsur-unsur
Kalimah Arab Dengan Dialek Alam Melayu”). Ia adalah satu pendekatan
mudah belajar bahasa Arab terutamanya untuk rakyat Malaysia yang sudah
menguasai Bahasa Melayu. Konsep yang ingin diketengahkan sebenarnya
cukup mudah.
Setiap
hari cuma satu kata pinjaman sahaja yang akan dihuraikan, digunakan dan
dipraktikkan. Inilah yang dikatakan, sehari sehelai benang,
lama-kelamaan menjadi selembar kain. Begitu juga dalam konteks belajar
bahasa Arab yang mudah ini. Sehari satu kata pinjaman lama kelamaan
“as-hala qamusin”. Apa yang dimaksudkan dengan “as-hala qamusin” ialah
sebuah kamus yang paling mudah difahami.
Kedua : Konsep Zikrullah
Ada
satu soalan yang sering ditanya kepada kita. Kebanyakan daripada kita
pun pasti akan menjawabnya dengan jawaban yang sama atau hampir sama.
Soalan itu ialah “Kaifa haluk?” Terjemahannya “Apa khabar saudara?”
Jawabannya ialah “Ana bikhair wal hamdulillah” Terjemahannya “Saya baik
dan alhamdulillah”.
Apa
yang ingin dibicarakan di sini ialah jawaban “alhamdulillah” iaitu
menyebut nama Allah. Persoalannya kenapa soalan ini sahaja kita
menjawabnya dengan menyebut nama Allah? Kenapa dalam soalan lain atau
suasana yang lain kita tidak mampu menyebut nama Allah? Sehubungan itu
kita akan mengaitkan apa saja ayat yang kita bina dengan satu zikrullah
yang paling sesuai. Dalam hal ini sekiranya kita mudah mengingati Allah,
Allah akan memudahkan kita untuk belajar mengingati perkataan lain.
Ketiga : Konsep Pengukuhan Dengan ayat Al-Quran, Al-Hadis dan Kata-kata hikmat
Untuk
pengukuhan kita gunakan perkataan yang digunakan dalam Al-Quran, Hadis
atau kata-kata hikmah. Sebagaimana kita maklumi, bahasa Al-Quran tidak
boleh ditandingi oleh mana-mana pakar bahasa. Begitu juga dengan
Al-Hadis dan kata-kata hikamt dalam bahasa Arab yang boleh dijadikan
sebagai panduan penting dalam mempelajari bahasa Arab ini.
Sehubungan
itu kita sepatutnya menggunakan kekuatan yang kita ada ini berbanding
pelajar yang belajar bahasa-bahasa lain selain daripada bahasa Arab
tidak dapat menggunakan kelebihan ini. Jika kita tidak memanfaatkan
kelebihan ini, sudah tentu kita akan mengalami suatu kerugian besar.